*~Pengalaman Zaman Persekolahan~*


* Gambar Kelas 4 Sains 1, 2001

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ni, saya nak cerita tentang pengalaman masa sekolah dulu. Korang pun mesti ada pengalaman masing-masing kan? Ada yang manis, pahit, masin, masam, kelat dan lain-lain. Heheh. Tak apa, korang boleh cerita pengalaman korang di ruang komen ok? ;p

Tengok balik gambar kat atas tu, teringat la pula masa berada di sekolah menengah. Cuba korang cari kat mana saya? Agak-agak yang paling hensem kat dalam gambar tu, saya la. Hahaha... =)

Paling seronok nak cerita masa di sekolah menengah. Sebabnya, masa ni la saya mula kenal tentang puisi, tentang erti kawan atau sahabat, paling penting tentang cinta! Haha. Kelakar gila kalau nak ingat kisah cinta zaman sekolah dulu. Bukan nak perasan, tapi saya ni agak aktif di sekolah, jadi satu sekolah kenal siapa saya. Nak dijadikan cerita, saya dengan budak perempuan ni memang aktif dan kami dalam satu pasukan untuk menyertai Sayembara Puisi Sains atau Puisidra (sebab ada ala-ala drama sambil deklamasi puisi). Kitorang memang agak rapat la dari tingkatan 1 hinggalah tamat persekolahan. Satu hari, kisah cinta 'kantoi' bila surat cinta saya jatuh ke tangan cikgu penyelia kami. Adoyai. Tambah gamat lagi, cikgu penyelia tu agaklah kecoh orangnya, habis di setiap kelas yang dia mengajar, dia akan cerita tentang kami. Masa tu, paling lega sebab kami tidak di'sanding'kan di atas pentas semasa perhimpunan. Sebab masa tu, isu sanding-sanding ni hangat dilaksanakan untuk Uda dan Dara di sekolah kami. Haha...

Walau apapun, sekarang ni dia pun dah kahwin dengan teman sekelas kami juga. Kalau tak silap, bulan depan ni bakal menimang cahaya mata pertama. Paling mantap, masa mereka kahwin dulu, saya yang jadi pengacara majlisnya. Haha... Kepada korang, kalau nak kahwin lepas ni dan ingin mencari pengacara majlis, bolehlah emelkan kepada saya, ok? Harga boleh dirunding punya. Hahah...

Erm, manalah perginya korang semua yang kat atas tu ek? Kalau ada yang terbaca entri ni, harapnya dapatlah korang hubungi saya ni. Rindu sangat, lama tak jumpa. Heheh. Sebenarnya, banyak lagi nak cerita tentang pengalaman sekolah, tapi nanti-nantilah kot. Nak pergi makan jap.

Sampai jumpa lagi, daa... =)

p/s : Bertambah lagi sebulan usia perkenalan kita kan? Terima kasih untuk bahagia ini. ;p

ilham.hafiz
11-11-2009
teratak bonda, taiping.

*~Penghargaan dari 'Izzaty Salehhon...~*

Assalamualaikum w.b.t.

Setelah meneliti semula entri seorang sahabat lama ILHAM ketika di zaman kolej dulu, rupa-rupanya beliau ada menganugerahkan ILHAM dengan sebuah gelaran...

"Ijat, terima kasih untuk anugerah tersebut. Maka dengan ini, aku perturunkan semula semuanya..."





1. Di atas adalah anugerah yang diberikan oleh 'Izzaty Salehhon a.k.a Ijat

2. 5 fakta menarik tentang 'Izzaty Salehhon:
- seorang sahabat yang sangat baik, memahami dan sering membantu
- gemarkan gajet-gajet melibatkan komputer terutamanya
- nampak garang, tapi jiwa lembut (hahahaha)
- pandai juga jadi penasihat gaya (ingat lagi masa aku nak berkonsert dulu, ijat?)
- sempoi, 'sporting'

3. 10 hobi atau fakta diri hamba :
- gemar membaca novel, majalah dan bahan-bahan bacaan yang membina personaliti
- sukakan warna hitam, putih, merah dan pink! (beranikan diri guna warna pink)
- menikmati irama tradisional melayu, lagu-lagu puisi
- menonton cerita-cerita berunsurkan penyiasatan, aksi dan romantis
- sukakan teater dan juga apa-apa yang melibatkan persembahan pentas
- ingin membantu masyarakat dalam penulisannya
- jika terlalu penat, boleh tidur dari pagi ke petang
- tidak mengenal erti putus asa
- ingin membina legasi yang tersendiri
- suka menari mengikut rentak lagu yang didengari


4. Penerima penghargaan ini:
 - sayidah mu'izzah (pendorong setia)
 - nasriah abdul salam (kakakku sayang)
 - 'izzaty salehhon a.k.a ijat (membuka minda tentang ayat-ayat al-quran & hadis2)
 - blogger2 di malaysia

sekian, terima kasih.

ilham.hafiz
06-11-2009
teratak bonda, taiping.

*~Tiga Golongan Manusia~*

 

"Success is not the key to happiness. Happiness is the key to success!"


Ada tiga golongan manusia melihat sebuah kesempatan. Dalam pepatah Mandarin (setelah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu) dikatakan;
"Orang yang lemah, menunggu kesempatan;
Orang yang kuat, menciptakan kesempatan;
Orang yang cerdik pandai, memanfaatkan kesempatan"


Bagi orang lemah, bila kesempatan belum datang, dia akan menunggu sampai kesempatan itu datang. Bila ditunggu kesempatan belum juga datang, dia berfikir, 'Ini memang nasibku.'

Bagi orang kuat, bila kesempatan belum datang, dia akan menggunakan pelbagai cara dan segenap kemampuannya untuk menciptakan kesempatan itu datang kepadanya.

Bagi orang cerdik pandai, dia akan memanfaatkan kesempatan kerana dia menyedari kesempatan adalah sesuatu yang berharga. Belum tentu kesempatan itu datang untuk kali kedua.

Memang pada situasi tertentu, kadang munculnya kesempatan itu perlukan pematangan waktu. Kita perlu menunggu sesaat, tetapi bukan dengan sikap yang pasif, sebaliknya, kita menunggu kesempatan itu dengan sikap waspada, proaktif dan penuh sedia.

Seperti sikap seekor kucing yang akan menangkap tikus. Kucing dengan sabar, waspada, penuh sedia menunggu kesempatan tikus keluar dari lubang persembunyiannya. Bila tikus tersebut keluar, kucing akan segera menyerkap mangsanya.

Keberhasilan kucing melumpuhkan tikus adalah rangkaian proses melakukan tiga hal tadi, iaitu kemampuan menunggu kesempatan bukan secara pasif tetapi secara proaktif, penuh sedia. Bila kesempatan tercipta, langsung dimanfaatkan.

Kesempatan merupakan salah satu faktor yang harus dimiliki bagi siapa sahaja yang mahu mengembangkan diri. Oleh sebab itu, bila kesempatan belum datang, kita harus berusaha menciptakannya, bahkan di dalam kesulitan pun, jika kita punya kesungguhan untuk berusaha terus menerus, suatu hari, kesempatan pasti akan datang.

Di dalam setiap kesulitan, terdapat kesempatan.

Pastikan dengan segenap kreativiti, kerja keras, kesungguhan dan niat baik, kita ciptakan kesempatan, manfaatkan kesempatan untuk mengembangkan diri semaksimum mungkin dan memperoleh kehidupan yang lebih baik, lebih sukses dan lebih bererti!

Fikir-fikirkanlah... Kita ingin berada di dalam golongan yang mana...

ilham.hafiz
21-10-2009
teratak bonda, taiping.

*~Sakit Gigi~*



Assalamualaikum w.b.t.

Apa khabar kalian?

Macam mana dengan wajah baru teratak ILHAM? Harapnya kalian suka. Walaupun masih dalam pembikinan, insyaAllah, akan ILHAM cuba sempurnakan secepat mungkin.

Semalam, ILHAM mengukir lagi satu sejarah peribadi untuk tahun ini. Setelah bertahun-tahun lamanya tidak mengalami sakit gigi, apatah lagi berjumpa dengan doktor gigi untuk melakukan rawatan (selain dari mencuci plak gigi), semalam ILHAM berkunjung ke sana. Ya, ke klinik gigi.

Sakitnya tidak tertahan lagi. ILHAM terpaksa membuat 3 tampalan yang mana lubangnya hampir kena di saraf. Bunyi gerudi doktor gigi amatlah menakutkan. Ngilu terasa. Sampai sekarang sakitnya masih belum juga hilang. Aduh!

Walau apapun, kepada kalian, jagalah kebersihan dan kesihatan gigi kalian. Bila gigi sakit, selera pun jadi mati. Otak tertekan, mulalah asyik marah-marah sahaja. 'Sabarlah, ILHAM...'

ilham.hafiz
20-10-2009
teratak bonda, taiping.

*~Berbaktilah Kepada Ibu & Bapa Kita~*



Assalamualaikum w.b.t.

Melalui Surah al-Isra', ayat 23, Allah mengingatkan; "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain daripada Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara kedua-dua atau kedua-duanya sampai berumur lanjut pemeliharaanmu..."

Ayat di atas menjelaskan bahawa perbuatan menyakiti hati dan menyentuh perasaan mereka walaupun hanya sekelumit perkataan 'hish!', sudah cukup membuatkan mereka berasa tersinggung. Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; "Orang yang membuat ibubapanya bersedih, maka ia dianggap satu penderhakaan." Dan sabdanya lagi; "Dosa besar pertama adalah mensyirikkan Allah dan yang kedua menderhaka kepada kedua-dua orang tua."

Walaupun mereka mengambil keputusan secara sukarela untuk tinggal di rumah kebajikan, tetapi sebenarnya jauh di sudut hati mereka, keinginan untuk tinggal bersama anak-anak tetap ada. Tidak ada ibubapa yang sanggup berjauhan dengan anak-anak dan kaum keluarga, sementelah lagi berada di penghujung usia. Tidak rugi bagi anak-anak menjaga ibubapa mereka yang telah tua kerana Allah menjanjikan keberkatan rezeki dan kedamaian serta dikurniakan umur yang panjang kepada ummatnya yang menjaga kedua-dua orang tuanya.

Hal ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w.; "Sesiapa yang ingin dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki, hendaklah berbakti kepada kedua-dua orang tuanya." Tegasnya, anak-anak jangan terlalu bakhil untuk menyerahkan duit belanja kepada kedua-dua orang tuanya kerana ia telah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab yang dituntut dalam Islam.

Kalau boleh, anak-anak haruslah menjaga ibubapa yang telah tua. Selalunya, sekarang ini, kita lihat golongan ayah yang meninggal dunia dahulu, maka tinggallah golongan ibu seorang diri sahaja. Mereka ini terlalu sensitif dan mudah kecil hati. Sebaik-baiknya, mintalah pendapat mereka sebelum membuat keputusan dan ajaklah mereka ikut sekali bercuti. Jangan abaikan pandangan mereka dan meninggalkan mereka seorang diri di rumah. Orang tua sebenarnya lebih mementingkan hubungan kekeluargaan. Mereka seperti juga kanak-kanak kecil yang memerlukan perhatian dan kasih sayang dari anak-anak. Perasaan juga mudah tersinggung dan amat sensitif dengan keadaan sekeliling, cuma jarang diperlihatkan di hadapan kita.

Harta yang paling berharga ialah kasih sayang dan hubungan antara kita dengan kedua ibubapa kita. Selagi terdaya dan termampu, marilah bersama-sama berbakti kepada kedua ibubapa kita. InsyaAllah.

ilham.hafiz
16-10-2009
teratak bonda, taiping.

*~'Rumah Kesyukuran'~*



Assalamualaikum w.b.t.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang maksudnya:
"Jika seorang hamba Allah kematian anak, Allah bertanya kepada Malaikat: "Adakah kamu telah mengambil nyawa anak hamba-Ku?" Malaikat menjawab: "Ya." Allah bertanya lagi: "Kamu telah mengambil nyawa buah hatinya?" Malaikat menjawab: "Ya." Allah bertanya kali ketiga: "Apakah kata hamba-Ku?" Malaikat menjawab: "Ia bersyukur pada-Mu serta mengucapkan 'dari Allah kita datang dan kepada-Nya kita kembali'. Alla Ta'ala memerintahkan Malaikat-Nya: "Binalah baginya sebuah rumah di syurga dan namakan rumah itu 'Rumah Kesyukuran'." - Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Hibban

HURAIAN:-

  1. Apabila keimanan seseorang itu sudah kukuh dan mencapai kedudukan yang istimewa, pasti segala kejadian dan musibah yang menimpa, akan menjadi kecil pada dirinya.
  2. Dia menyerahkan segala yang menimpa kepada Allah s.w.t tanpa merasa bimbang, kecewa dan sedih bahkan menerimanya dengan perasaan yang tenang dan sabar. Dengan perkataan lain, dia redha terhadap qada' dan tunduk terhadap takdir Allah s.w.t. Inilah sifat yang harus ada pada seorang mukmin yang sebenar.
  3. Tidak dinafikan bahawa kesabaran itu amatlah berat, namun ia terlalu besar ganjarannya jika mahu dibandingkan dengan ujian-ujian yang lain.
Kalian, terima kasih atas sokongan dan dorongan yang tidak putus-putus. Teruskan perjuangan dan jangan pernah mengalah...

ilham.hafiz
09-10-2009
teratak bonda, taiping.

*~Abah, Tenanglah Dikau Di Sana~*


*Percutian terakhir bersama dengan ayahanda tercinta...

Assalamualaikum w.b.t

Kalian apa khabar? Semoga sentiasa sihat berada di bawah lindungan Allahuakbar.

Tanggal 26-09-2009, pukul 10.27 pagi telah menjadi sejarah hidup yang ILHAM tidak akan mampu  untuk lupakan sampai bila-bila. Ayahanda tercinta, ABDUL LATIFF BIN RADZUAN telah kembali ke rahmatullah, menyahut panggilan Ilahi yang lebih tahu apa yang terbaik buat hamba-hambaNya.

Doa ILHAM agar allahyarham ayahanda tercinta akan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan bertaqwa kepada Yang Maha Esa.

ILHAM mohon agar dapat kita sama-sama sedekahkan bacaan surah Yaasin dan al-Fatihah untuk allahyarham. Semoga rohnya tenang dalam perjalanan yang abadi.

Di kesempatan ini, ILHAM ingin mengucapkan terima kasih kepada kalian yang telah sudi menghantar khidmat pesanan ringkas (sms), juga panggilan telefon serta ucapan takziah melalui laman mukabuku (facebook). ILHAM sangat berterima kasih kepada Sayidah Mu'izzah yang sudi hadir dan banyak membantu menguruskan kenduri tahlil di kampung ILHAM. Juga buat Basyirah dan Dina yang datang dan turut membantu apa adanya. Budi kalian disanjung tinggi. Terima kasih.

Salam kasih dan salam lebaran untuk semua.

ilham.hafiz
01-10-2009
teratak bonda, taiping.

Back to Home Back to Top *~iLhAm.HaFiZ~*. Theme ligneous by pure-essence.net. Bloggerized by Chica Blogger.